| Jawapan
Termaklum bahawa
wang simpanan pekerja (CPF) itu disimpan oleh
Lembaga CPF untuk menjadi pembantu setiap
pekerja pada masa tuanya. Mengikut undang-undang,
wang ini tetap menjadi hak milik pencarum;
tidak boleh bertukar milik kepada sesiapa
pun selagi pencarum masih hidup. Apabila pencarum
wafat, wang CPF-nya menjadi sebagai harta
peninggalan si pencarum dan dibahagi mengikut
kemahuan pencarum sendiri. Wang-wang yang
tersimpan dalam tabung CPF ini walaupun terikat
dengan undang-undang yang tidak membolehkan
pencarum menggunakan wang itu dengan sesuka
hatinya melainkan pada perkara yang diizinkan
oleh Pemerintah seperti membeli rumah pangsa
HDB atau rumah-rumah privet, membeli saham-saham
yang diakui dan membayar bil-bil hospital
bagi diri sendiri dan keluarga yang karib
sahaja, namun wang simpanan dalam tabung itu
tetap menjadi hak milik si pencarum sehingga
ia menerimanya apabila cukup umurnya 55 tahun
atau sebagai harta peninggalannya setelah
ia wafat. Ini bererti harta itu sudahsempurna
menjadi hak milik si pencarum dan setiap harta
yang sempurna telah (pasti) menjadi hak milik
si pencarum dan setiap harta yang sempurna
telah menjadi milik seseorang itu jika telah
cukup nisab dan haulnya wajib dizakatkan.
Ulama Fiqh (Mazhab Shafie) telah menggambarkan
milik sempurna yang menjadi syarat utama wajib
zakat sepertimana yang disebut dalam kitab
AL-Iqnak, karangan Shaikh Mohd Asy-Syarbini
m.s. 184 seperti berikut:
Erti milik sempurna:
Tidak wajib zakat kepada sesiapa yang tidak
memiliki milik sempurna seperti harta hamba
abdi mukatab (yang membuat kontrek) dengan
tuannya untuk membeli kebebasannya kerana
ia berhak membatalkan kontreknya itu jika
ia mahu.
Dan wajib zakat pada harta orang yang ditahan
kebebasannya untuk menggunakan hartanya. Suruhan
ini ditujukan kepada mereka yang menjaganya.
Tidak wajib zakat pada harta wakaf, untuk
bayi dalam kandungan kerana tidak ada kepastian
hidup atau matinya. Dan wajib zakat:
- Terhadap
harta yang dirampas.
- Terhadap
harta yang tidak diketahui di mana ia berada
(seperti binatang ternakan yang hilang).
- Terhadap
hutang yang diingkari oleh orang yang berhutang.
- Terhadap
harta yang berada di luar negeri sekalipun
payah untuk mendapatkannya.
- Terhadap
harta yang di miliki mengikut aqad (kontrek)
sekalipun ia belum menerimanya kerana kontrek
itu telah menandakan sempurna milik.
Dan
dari Penentuan Kitab lain sepertimana yang
dinyatakan dalam kitab Attaufah Juz: 3 m.s.
322.
Ertinya: wajib
zakat pada harta yang dirampas, dan yang
dicuri dan yang hilang (seperti binatang
ternakan sesat). Dan di antara yang wajib
zakat juga adalah harta yang jatuh ke dalam
laut, dan yang tertanam di suatu tempat
serta terlupa tempatnya dan terhadap hutang
yang diingkari oleh orang yang berhutang.
Dan akan dinyatakan hukum zakat hutang mengikut
kaul azhar kerana berlanjutnya nisab dalam
setahun.
Dan tidak wajib mengeluarkannya yakni zakat
itu melainkan apabila ia telah menerima
harta itu setelah ada padanya bukti atau
diterangkan kepadanya oleh Kadi negaranya
atau ia sudah mampu menyelesaikan sekatan
terhadap harta itu dengan tidak ada halangan.
Dan barangsiapa mempunyai hutang tetapi
ia adalah seorang yang tidak dalam kesempitan
(mempunyai harta lain) dan tidak jadi keberatan
baginya mengeluarkan zakat hartanya, atau
telah kembali kepadanya harta-hartanya maka
dengan demikian hendaklah ia mengeluarkan
zakatnya bagi tahun-tahun yang telah lepas.
Dan dari kitab An-Nihayah
Juz 3, m.s. 128:
Ertinya: Penerangannya
adalah sama seperti yang ternyata di kitab
At-Taubah hanya ia ada menambah dengan berkata:
Yang kedua pendapat lama. Tidak wajib zakat
kerana adanya sekatan bagi membiak terhadap
harta itu den sekatan bagi menguasainya
maka ianya seumpama harta hamba abdi mukatab,
tidak wajib zakat pada harta itu atas tuan
kepada hamba itu. Tetapi jika seseorang
itu mampu mengambil semula hartanya yang
dirampas daripadanya, atau padanya bukti
terhadap orang yang mengingkari atau telah
diberitahu kepada Kadi dalam keadaan demikian
wajiblah zakat atasnya.
Dan tidak wajib mengeluarkan zakat sehingga
kembali harta yang dirampas dan lain-lain
dari apa yang dinyatakan tadi kerana tidak
boleh dilaksanakan sebelum itu. Maka apabila
kembali harta-harta tadi hendaklah dikeluarkan
zakatnya dari tahun-tahun yang telah lepas.
Dan kalau harta itu telah rosak sebelum
dapat dilaksanakan zakatnya maka dalam keadaan
yang demikian gugurlah zakatnya. Dan difaham
dari itu bahawa harta yang tidak ada di
sisi tuannya jika sedang dalam perjalanan
untuk dihantarkan kepadanya tidaklah wajib
atasnya zakat secara terus menerus bahkan
haruslah dikira setelah sampai harta itu
kepadanya iaitu sebagaimana telah dinyatakan
dalam kitab Er-Raudhah dan diakui betul
pendapatnya dalam kitab Majmuk.
Ini bererti kewajipan zakat terhadap sesuatu
harta, bermula apabila sahaja cukup nisab
san haulnya, tetapi masa menunaikannya adalah
apabila telah bolah dilaksanakan. Oleh kerana
wang CPF tadi terikat dengan undang-undang
yang mana tidak membolehkan si pencarum
mengeluarkan zakatnya, maka hukum wajib
telah ada dengan cukup nisab dan haulnya
sedang pelaksanaan mengeluarkan zakatnya
adalah apabila mampu mengeluarkannya kelak,
bermula dari tahun cukup nisab dan haulnya.
Ini juga bererti orang-orang yang tidak
dapat mengeluarkan zakat CPF-nya pada setiap
tahun, tidaklah dianggap sengaja melambatkan
zakatnya atau dikatakan berdosa kerana keadaan
tidak membolehkannya.

|