| Ertinya:
"Dapatkanlah
saya bagi membantu orang-orang kamu yang lemah,
sesungguhnya kamu mendapat bantuan Ilahi dan
mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan
kamu kepada orang-orang kamu yang lemah"
Dalam sebuah hadis yang lain,
Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa
besarnya kedudukan orang yang membantu para
janda dan miskin dengan sabdanya:
Ertinya:
"Orang
yang berusaha untuk membantu janda-janda dan
orang-orang miskin adalah seumpama orang yang
berjihad pada jalan Allah".
Islam mewajibkan setiap Muslim berusaha untuk
mendapatkan rezekinya dengan bekerja supaya
tidak menjadi beban kepada orang lain, tetapi
jika seseorang itu tidak mampu bekerja maka
pihak negara atau masyarakat Islam wajib membantu
orang yang dalam kesusahan ini. Al-Quran telah
menentukan bahawa orang-orang yang tidak berkemampuan
mempunyai hak pada harta orang-orang yang
kaya dan hak ini diambil dari si kaya berpandukan
hukum Islam. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan
kebaikan orang-orang Mukminin:
Ertinya:
"Mereka
yang tetap mendirikan sembahyang. Dan orang-orang
yang (menetapkan) dalam hartanya peruntukan
yang tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta
dan orang yang tidak mempunyai apa-apa”
Penentuan yang dibuat pada
harta orang-orang kaya ini menjadi hak orang-orang
miskin. Wajib atas si kaya mengeluarkannya.
Jika ia enggan mengeluarkannya dengan sukarela
maka Islam membolehkan pihak yang berwajib
mengambilnya dengan paksa.
Selain dari zakat wajib dan
sedekah biasa, terdapat dalam syariat Islam
suatu hukum yang dinamakan fidyah/kaffarah.
Iaitu denda-denda yang dikenakan atas mereka
yang melanggar hukum sesuatu ibadat sebagai
penebus dosa dan menjadi sedekah kepada fakir
miskin. Umpamanya orang yang batal puasanya
kerana bersetubuh dengan isterinya pada siang
Ramadan maka wajib atasnya memerdekakan hamba,
dalam keadaan tiada hamba, ia mesti berpuasa
dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak mampu
maka wajib atasnya memberi makan 60 orang
fakir miskin. Begitu juga hukumnya bagi seseorang
yang melanggar hukum zihar . Ada lagi beberapa
kaffarah atau fidyah yang cara menebusnya
adalah dengan memberi makan kepada fakir miskin.
Begitulah kita dapati
syariat Islam menjadikan pembelaan fakir miskin
dengan memastikan mereka mendapat makanan
menerusi denda-denda dari mereka yang melanggar
hukum dan juga menjadi penebus dosa atau penolak
kecuaian. Dikatakan bahawa sedekah memadam
dosa selagi ianya tidak merampas hak orang
Muslim lain. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

Ertinya:
"Sedekah
itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan
api".
Kalaulah maksiat itu dari
jenis merampas atau menganiaya hak orang Muslim
lain maka dosa itu tidak boleh dipadam dengan
fidyah atau kaffarah bahkan wajib dikembalikan
semula hak orang itu.
Dengan demikian nyatalah bahawa Islam mewajibkan
fidyah/kaffarah ini sebagai satu jalan bagi
membela fakir miskin. Mazhab Maliki, Syafie
dan Hambali menyatakan tidak sah atau tidak
harus mengeluarkan zakat fitrah, fidyah atau
kaffarah dengan nilai (wang ) kerana tidak
ada nas yang menyatakannya. Tetapi mengikut
mazhab Hanafi dibolehkan bahkan dihukumkan
sebagai lebih baik lagi kerana ianya membolehkan
si fakir miskin membeli keperluan-keperluannya.
Memandangkan bahawa si fakir miskin itu mungkin
tidak memerlukan kepada makanan, tetapi keperluannya
lebih kepada pakaian atau barang-barang lain.
Sedang memberinya makanan berlebihan mungkin
membuatnya terpaksa menjual pula dengan harga
yang murah jauh dari harga yang sepatutnya
dan tentu sekali itu akan merugikannya terutama
sekali jika jenis makanan itu banyak di pasaran.
Andaikata yang menjadi keperluan itu adalah
makanan maka memberi makan adalah lebih afdhal.
Memandangkan bahawa
asal nas dari al-Quran dan al-Hadis yang pada
dasarnya bermaksud supaya fakir miskin itu
wajib dibela nasib mereka, dan jika diberi
pilihan mereka lebih suka kepada nilai wang
dari makanan yang sudah banyak diterimanya,
Jawatankuasa Fatwa memutuskan ada keharusan
mengambil pendapat Imam Hanafi dalam masalah
ini dan memfatwakan bahawa fidyah/kaffarah
dengan nilai ( wang ) dibolehkan mengikut
keadaan masa demi mensesuaikan pembelaan fakir
miskin itu sendiri.
|